Sunday, 12 May 2013

Teori membaca



TEORI MEMBACA
Terdapat beberapa teori membaca yang dapat membantu pembaca memahami proses membaca. Teori-teori ini dapat menggambarkan proses membaca sama ada pada peringkat rendah mahupun pada tahap yang lebih tinggi.

Teori membaca secara automatik.
Teori ini diperkenalkan oleh La Berger dan Samuel (1974). Teori ini menganggap wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca secara automatik. Di samping itu, model ini juga menganggap wujud perbezaan antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca. Sub komponen dalam kemahiran membaca seperti mengecam huruf dan seterusnya mengecam perkataan dikuasai secara automatik melalui latihan. Oleh itu, sumber-sumber ini diperlukan bagi membantu menguasai kemahiran asas membaca. Sehubungan itu, teori ini meramalkan hubungan yang positif antara kemahiran pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang dijalankan. Pembaca yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik berupaya mengawal teks serta mempunyai lebih sumber dan lebih faham. Oleh itu, ketika membaca teks, pembaca perlu menekankan pengawalan eksekutif supaya dapat membantu pembaca memahami teks dengan lebih berkesan.
Teori kecekapan verbal
Teori ini diperkenalkan oleh Perfetti ( 1985, 1988 ) yang menenkankan kemahiran membaca dengan meluaskannya melangkaui proses mentafsirkan kod. Selain daripada ciri automatik dalam menguasai bahasa, aspek lain yang berkaitan dengannya adalah resolusi anafora, membuat kenyataan atau cadangan secara bersepadu, aktivit yang berkaitan dengan ingatan dan strategi metakognitif yang digunakan. Berdasarkan teori ini, setiap pembaca mempunyai profil yang tersendiri bagi tujuan menguasai kecekapan verbal. Menurut Benjafield (1997), teori ini juga berdasarkan tanggapan bagi sesuatu pemerhatian, merujuk kepada perhatian dan sumber ingatan yang terhad  yang terdapat dalam diri pembaca. Teori ini juga membincangkan sejauh mana sesuatu sub komponen membaca berhubung dengan pemahaman. Pembaca yang tidak cekap selalunya lebih mudah lupa perkara yang sudah dibacanya. Tidak cekap dalam membaca juga disebabkan oleh penglihatan yang terhad. Kekurangan pengetahuan lalu berkaitan dengan teks yang dibaca juga akan menyukarkan pembaca memahami kandungan teks.
Berdasarkan teori membaca di atas, wujudnya kepentingan membaca bagi tujuan pemahaman dan kelancaran pembacaan. Penggunaan teori membaca yang melibatkan ciri automatik dan kecekapan perbendaharaan kata membantu keberkesanan penguasaan membaca.


Teori memindahkan maklumat
Teori yang berasaskan pandangan La Berge dan Samuel (1985) dan Gough (1985) ini dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab secara meluas menyatakan bahawa aktiviti membaca adalah proses memindahkan maklumat. Beliau mengandaikan membaca sebagai proses mengenali huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Teori ini berpendapat bahawa aktiviti membaca bertujuan membentuk peningkatan kebolehan pembaca memindahkan maklumat, manakala pembaca yang lemah tidak dapat melakukan sedemikian. Selalunya kemahiran ini dibina dengan memberikan pelajar petikan yang ringkas dan diikuti dengan beberapa soalan yang khusus yang menumpukan kepada beberapa kemahiran membaca bagi kefahaman seperti membuat kesimpulan.

Untuk memahami proses membaca, kita perlulah terlebih dahulu meninjau teori-teori membaca. Terdapat tiga teori utama dalam proses membaca. Teori-teori itu adalah seperti yang berikut:
         Teori psikologi
         Teori kognitif
         Teori linguistik





TEORI PSIKOLOGI
  Dalam teori psikologi terdapat model behavioris yang berkaitan dengan proses membaca. Menurut model ini, semua pembelajaran melibatkan proses pembentukan tabiat atau kebiasaan melalui hubungan antara rangsangan dan tindak balas.

  Dalam bidang bacaan, model ini boleh diaplikasikan kepada proses membaca. Untuk menguasai kemahiran membaca, seseorang itu perlulah berlatih membaca daripada mengecam huruf diikuti mengecam perkataan. Model ini juga ada menyatakan selain mengecam perkataan, seseorang itu perlu mengetahui makna daripada perkataan dan ayat secara automatik setelah menguasai kemahiran membaca. Sesuatu tingkah laku akan menjadi kebiasaan jika dibuat secara berulang kali. Kebolehan membaca juga akan menjadi bertambah baik jika dibuat secara berulang kali.

TEORI KOGNITIF

  Ahli dalam teori kognitif ini merupakan ahli bahasa yang percaya bahawa perkembangan bahasa adalah sebahagian daripada proses perkembangan seseorang individu. Ahli teori ini berpendapat bahawa membaca adalah kemahiran kognitif yang kompleks. Teori ini beranggapan membaca sebagai mengumpul, memproses serta menggunakan maklumat dan tidak hanya bertindak balas terhadap bahan bacaan. Teori ini menolak anggapan bahawa kemahiran berbahasa boleh diperoleh melalui pembentukan kebiasaan atau tabiat melalui ikatan rangsangan dan tindak balas.





TEORI LINGUISTIK
  Teori ini adalah teori bahasa yang mengatakan bahawa seseorang kanak-kanak menggunakan kebolehan berbahasa yang diperoleh sejak lahir untuk mendapatkan pengetahuan daripada persekitarannya.
  Teori ini mendefinisikan membaca sebagai proses psikolinguistik yang memperlihatkan makna diperoleh melalui hubungan media linguistik. Mengikut teori ini, membaca bukan sahaja satu proses mengatur huruf hingga menjadi perkataan dan rangkai kata kepada ayat, tetapi membaca sebenarnya adalah proses mendapatkan makna pada tahap dalaman.

No comments:

Post a Comment